Perkhidmatan urut tradisional kembali dapat tempat, kata Rohani

Rohani (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada warga emas.

SEBUYAU, Mac 17: Perkhidmatan urut secara tradisional kini kembali mendapat tempat di hati masyarakat, kata Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Menurut beliau, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mewujudkan satu kumpulan pengamal urutan tradisional yang dinamakan sebagai Mamacare.

“Pada hari ini mereka turut membawa Mamacare khas untuk penduduk Kampung Sungai Ladong di sini.


“Perkhidmatan mereka ini boleh didapati di booth LPPKN dengan caj serendah RM1 seminit,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sentuhan Kasih di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Ladong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar memberitahu, pada tahun 2016, Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (FACE) Fasa Satu telah dimulakan di Kampung Beladin bagi negeri Sarawak.

Katanya, FACE adalah program untuk mensejahterakan keluarga dengan memperkasakan keluarga dan komuniti.

“Oleh itu, isu-isu di peringkat komuniti dapat dikenalpasti dan ditangani oleh komuniti tersebut dengan segera dan baik.

“Manakala pada bulan April tahun 2017, komuniti Asajaya telah terpilih sebagai Komuniti FACE kedua (2.0) di Sarawak.

“Untuk hari ini saya, sukacita saya mengumumkan bahawa Komuniti FACE ketiga (3.0) bagi negeri Sarawak adalah Komuniti Pekan Sebuyau dan program ini akan dilaksanakan pada bulan April tahun ini,” ujarnya lagi. — DayakDaily