Abang Johari tidak peduli dengan kritikan pihak pembangkang

Abang Johari (tengah) menerima cenderahati dari Dato Sri Michael Manyin (dua dari kiri) selepas merasmikan Inisiatif Kemahiran Bahasa Inggeris Serian (SELPI) di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin , Serian.

SERIAN, Mac 17: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan beliau tidak akan mempedulikan sebarang kritikan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak terhadap usahanya membolehkan negeri ini memiliki kawalan perundangan terhadap aktiviti melombong sumber semulajadi negeri ini terutama minyak dan gas mulai Julai depan.

“Biarkan DAP (Sarawak) mengatakan apa sahaja, tetapi saya akan menyampaikannya dan selepas itu barulah rakyat akan mengetahui, kerana ketika ini juga masih ramai yang ragu-ragu samada saya boleh menyampaikannya,” katanya ketika merasmikan Inisiatif Kemahiran Bahasa Inggeris Serian (SELPI) di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin, Tebedu, di sini hari ini.

Majlis tersebut juga dihadiri Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee dan Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.


Abang Johari juga mahu membuktikan kepada pihak pembangkang yang kenyataannya itu bukan sekadar udara panas atau cakap kosong sahaja tetapi memang akan dilaksanakan demi rakyat Sarawak.

“Malahan perkara itu ada disebut dalam Perlembagaan Persekutuan yang kita (Sarawak) ada kawalan perundangan terhadap semua pihak yang mahu melombong sumber semulajadi kita,” katanya.

Abang Johari mengulas kenyataannya baru-baru ini yang mulai Julai 1 depan, Sarawak akan menjadi pihak berkuasa penuh terhadap industri minyak dan gas negeri ini dan meminta semua orang dan syarikat dalam industri itu mendapatkan lesen, permit, pajakan atau kebenaran mengikut undang-undang negeri ini.

Ini berikutan berita kerajaan negeri akan meminda Ordinan Perlombongan Minyak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang dan sudah meluluskan Ordinan Pengedaran Gas 2016 yang akan mula dikuatkuasakan Julai 1 depan.

“Mulai Julai 1 tahun ini, negeri ini akan menjadi pihak berkuasa penuh terhadap aspek hiliran dan huluan industri minyak dan gas di Sarawak. Maka, semua orang dan syarikat terbabit dalam industri minyak dan gas di Sarawak mesti mempunyai memiliki lesen, permit, pajakan dan kebenaran diperlukan mengikut Ordinan Perlombongan Minyak dan Ordinan Pengedaran Gas 2016,” katanya.

Abang Johari menjelaskan bahawa sebelum Hari Malaysia pada Sept 16, 1963, Sarawak sudah memiliki semua sumber petroleum di persisiran dan luar persisiran pantai dalam kawasan ‘Continental Shelf’ negeri ini serta mempunyai kawalan penuh terhadap hak mencari gali dan melombong dalam sempadan negeri ini. — DayakDaily