Warisan seni budaya Sarawak dikenali ke peringkat serantau dan global

Abang Johari (tiga dari kiri) dan Abdul Karim (kanan) meluangkan masa menyaksikan demonstrasi menenun songket pada majlis tersebut.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 5 Dis: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah optimis bahawa warisan seni budaya Sarawak akan melonjak dan dikenali ke peringkat serantau dan global.

Katanya, ia dapat dicapai dengan usaha bersepadu secara sistematik, mengikut tanda aras Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Banga Bersatu).

“Kualiti warisan seni budaya tidak mungkin tercapai tanpa pemuliharaan yang sistematik untuk mengekalkan keberadaan warisan seni budaya tersebut dalam masyarakat.

“Bagi mencapai tujuan tersebut, inventori termasuk dokumentasi secara saintifik arkib, audio, visual harus dilaksanakan kepada masyarakat atau kumpulan etnik yang mendukung elemen warisan seni budaya tersebut.

“Latihan mengikut metodologi Unesco perlu diterapkan dalam masyarakat kita,” katanya pada ucapan aluan Majlis Muzik Dan Fesyen Sarawak 2020 (Samfag) di sebuah hotel di sini, malam ini.

Majlis telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abdul Karim, kementerian akan mengkaji dan mempertimbang penubuhan badan baru iaitu ICH seketariat di Kuching dengan kerjasama Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia Kuching (MACPA).

Ianya merupakan tumpuan bagi kelestarian warisan seni dan budaya Sarawak.

“Penubuhan badan ini bertujuan untuk mengusul aktiviti-aktiviti warisan seni dan budaya secara sistematik dan mempromosikan warisan seni budaya ke peringkat serantau dan global sebagai pusat dokumentasi warisan seni dan budaya.

“Penyertaan dan penglibatan aktif penggiat-penggiat seni di Sarawak di samping menyediakan latihan bertaraf antarabangsa dan menyediakan “dossier” pencalonan elemen-elemen warisan seni dan budaya untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa di bawah Konvensyen 2003 Unesco,” ujar Abdul Karim. — DayakDaily