Songket Sarawak ke pencalonan Unesco

Abang Johari (empat dari kiri) dan Juma'ani (tiga dari kanan) hadir ke Sarawak Music and Fashion Galore 2020.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 5 Dis: Usaha meningkatkan kualiti produk kraf Sarawak khususnya songket akan terus disokong.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia juga membantu mengetengahkan motif songket Sarawak untuk pencalonan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Banga Bersatu (Unesco).


“Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dengan kerjasama Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia Kuching menjalinkan kerjasama untuk memartabatkan warisan tradisional Sarawak ke persada antarabangsa.

“Pendekatan meningkatkan kualiti songket kita bergantung kepada bahannya, dan pihak NGO akan menggunakan benang dari negara Turki untuk menghasilkan rekaan yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sarawak Music and Fashion Galore 2020 (Samfag) di sebuah hotel di sini, malam ini.

Menurut Abang Johari, pengiktirafan Unesco itu nanti akan memberi kesan positif kepada seni kraf di Sarawak.

“Selain Songket, Sarawak juga memiliki kain keringkam dan pua kumbu yang juga boleh dibangunkan dan diketengah ke peringkat dunia,” katanya.

Sarawak Music Fashion Galore (SAMFAG) 2020 memilih Songket Sarawak sebagai karya seni yang bertemakan “Enchanting Evening with Sarawak Songket”.

Ia bertujuan untuk memartabatkan warisan tradisional Sarawak ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. — DayakDaily