Warga emas maut terlibat kemalangan dua kenderaan

Kelihatan mangsa yang maut dalam kejadian kemalangan di KM4 Jalan Serian-Tebedu petang tadi (16 April).

SERIAN, 16 April: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan di kilometer 4 jalan Serian-Tebedu di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu mangsa, 73, yang memandu sebuah kereta Perodua Kancil meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superitenden Alexson Naga Chabu berkata kemalangan membabitkan Perodua Kancil yang dinaiki mangsa dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hlux, dipandu seorang lelaki berusia 67 tahun.


Katanya, siasatan awal mendapati Perodua Kancil berkenaan bergerak lurus dari arah tebedu menunju ke serian manakala Toyata Hilux terbabit dari arah bertentangan.

Kenderaan jenis Perodua Kancil yang terbabit kemalangan di KM4 Jalan-Serian Tebedu petang tadi (16 April).

“Apabila sampai di tempat kejadian semasa Toyota Hilux membelok masuk ke simpang sebelah kanan iaitu simpang Kampung Tangga Pulau Tamba Cina telah dilanggar oleh kenderaan mangsa yang bergerak lurus dari arah Tebedu.

“Akibat perlangaran itu, pemandu Perodua Kancil tersebut mengalami kecederaan parah di badan dan kepala dan di sahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik manakala pemandu Toyota Hilux terbabit tidak mengalami sebarang kecerderaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata, mayat mangsa dibawa ke hospital Serian untuk tindakkan lanjut sementara pemandu Toyota Hilux terbabit ditahan untuk membantu siasatan kejadian kemalangan itu.

Katanya, kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kejadian tersebut turut ditahan bagi membolehkan pemeriksaan oleh Puspakom dilakukan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. — DayakDaily