Warga emas maut dalam kemalangan di Serian

Keadaan motosikal mangsa di lokasi kemalangan.

SERIAN, 26 Feb: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Serian-Kuching berhampiran Kampung Tian, semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 5 petang.

Katanya, mangsa semasa kejadian menunggang sebuah motosikal dan telah dipercayai dilanggar sebuah kereta menyebabkan mangsa tercampak.


“Mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa anggota paramedik dari Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily