Warga emas hilang, ditemui mati lemas

Mayat mangsa dibawa ke jeti untuk tindakan selanjutnya.

BINTANGOR, 1 Sept: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas disyaki terjatuh ke dalam sungai di Nanga Lasi Julau, Isnin lalu ditemui mati lemas pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata mangsa Sulau Bilong, 78, dijumpai terapung dan tersangkut di dahan pokok sekitar jam 8.20 pagi.

Katanya, mayat mangsa itu ditemui pada jarak kira-kira satu kilometer dari jeti rumah panjangnya.

“Pada jarak 1 kilometer dari jeti, pasukan operasi menemui satu objek seperti manusia kelihatan terapung dan tersangkut pada dahan pokok.

“‘Mereka kemudian terus menghampirinya dan mendapati objek tersebut ialah mayat manusia dan setelah diamati, disahkan mayat tersebuy adalah mangsa yang dicari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. — DayakDaily