BINTANGOR, 30 Mac: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika memukat di Sungai Kanowit, Nanga Meluan, pada Selasa lalu dijumpai telah meninggal dunia hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa dijumpai terapung oleh penduduk kampung dan pasukan penyelamat sekitar jam 11.26 pagi tadi.
Katanya, lokasi mangsa ditemui adalab kira-kira dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Arim Badok berusia 70 tahun.
Operasi menyelamat dan mencari (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini ditamatkan pada jam 12.20 tengah hari.
Turut sama dalam operasi tersebut ialah Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk kampung. — DayakDaily