Warga emas ditangkap, disyaki curi ‘forklift’ di Bintawa

'Forklift' yang dicuri suspek berjaya ditemui semula di sebuah kedai barang lusuh di Pending.

KUCHING, 8 April: Seorang lelaki warga emas ditangkap polis kerana disyaki mencuri sebuah jentera angkat susun (‘forklift’) semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan jentera berat milik sebuah syarikat kejuruteraan di Bintawa pada Isnin (5 April) lepas.

Jelasnya, bertindak kepada laporan tersebut, sepasukan polis berjaya menemui semula jentera tersebut di sebuah premis jual beli barang lusuh di Pending, dekat sini.


“Berdasarkan rampasan dan hasil semakan dari kedai tersebut telah membawa kepada tangkapan seorang suspek berusia 60 tahun yang dipercayai dalang kejadian tersebut.

“Turut dtemui daripada suspek ialah empat biji tayar ‘forklif’ yang masih disimpan di kediamannya di Bintawa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Merbin juga memberitahu suspek mencuri jentera tersebut dengan mengupah jentera berat jenis kren dan lori untuk mengangkutnya dan dijual di kedai barang lusuh.

“Sekarang kita sedang mengesan individu yang membantu warga emas (suspek) terbabit,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun jika disabitkan kesalahan. — DayakDaily