Awang Tengah akui kesilapan tidak pakai pelitup separuh muka, sedia bayar kompaun dikenakan

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING, 8 April: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengakui kesilapannya yang tidak memakai pelitup separuh muka ketika lawatannya di Matu baru-baru ini.

Beliau yang turut mengesahkan sudah dihubungi pihak polis susulan tular satu video menunjuk beliau berjalan dengan tidak memakai pelitup separuh muka di gerai makanan dan minuman semasa lawatan tersebut.

Dalam video terbabit, Awang Tengah yang turut kelihatan meminum air dibelinya daripada gerai-gerai terbabit sambil berjalan bersama rombongannya.


Jelasnya, beliau bersedia membayar kompaun yang dikenakan jika dikehendaki berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

“Selalunya gerai-gerai tersebut dibuka pada hujung minggu namun pada hari itu ia dibuka semperna lawatan saya ke Matu.

“Saya pergi ke gerai tersebut untuk beli barang dan pelitup separuh muka yang saya pakai telah dibuka untuk saya makan dan minum.

“Tetapi silap saya juga kerana dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan Matu menyebabkan saya tidak sedar pelitup separuh muka yang saya pakai telah dibuka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Perbadanan Kemajuan perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) 2021 di Wisma Sumber Alam di sini hari ini.

Video yang tular tersebut turut menunjukkan Awang Tengah menghulurkan sejumlah wang kepada beberapa peniaga gerai sambil berjalan.

Jelasnya, wang yang dihulurkan tersebut adalah sebagai bayaran bagi barang-barang yang dibelinya di gerai terbabit.

“Disebabkan mahu cepat selepas diberitahu oleh pegawai saya bahawa kami perlu bergerak segera dari lokasi tersebut saya telah meminta tuan punya gerai untuk bungkuskan barang yang saya beli itu,” katanya.

Sehingga kini, tiada kompaun atas kesalahan terbabit dikenakan kepada Awang Tengah.

Bagaimanapun Awang Tengah menegaskan bahawa beliau, bersedia dan akan membayar kompaun terbabit jika diarahkan untuk berbuat demikian. — DayakDaily