Warga emas antara 8 orang dicekup kerana disyaki terlibat curi kabel elektrik di Tudan

Kelihatan tiga daripada lapan suspek yang ditahan berasingan dalam Ops Lusuh.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 14 Okt: Polis di sini berjaya menumpaskan kegiatan mencuri kabel eletrik selepas menangkap lapan lelaki termasuk seorang warga emas dalam Ops Lusuh semalam.

Tangkapan ke atas suspek berusia antara 20-an sehingga 60-an itu dilakukan selepas pihak polis menerima tiga laporan daripada penyelia sebuah syarikat pembekalan eletrik mengenai kehilangan kabel tersebut yang dianggarkan bernila RM86,000.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, penyelia tersebut telah pergi ke sebuah sub-stesen janakuasa di kawasan Tudan pada September dan awal Oktober tahun ini apabila mendapati sejumlah kabel (anggaran 122 meter panjang) telah hilang.

Hasil risikan pihak polis, tujuh lelaki dan seorang warga emas dipercayai pembeli kabel curi telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Tangkapan dilakukan pada Oktober 13 sekitar jam 4.40 petang.

Lapan guni mengandungi kabel dipercayai dicuri berjaya ditemui dalam Ops Lusuh semalam (13 Okt 2021).

Penahanan kesemua suspek telah membawa kepada penemuan lapan guni kabel elektrik dipercayai dicuri di sebuah kawasan semak di Permyjaya Teknologi Park Bandar Baru Permyjaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri. — DayakDaily