Wanita warga emas terjun rumah selamatkan diri dalam kebakaran

Anggota Bomba memadam kebakaran.
Advertisement

MIRI, 12 Feb: Seorang wanita warga emas cedera di pinggang ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran di Taman Lai Pau, Jalan Simpang 2 hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dikatakan bertindak terjun dari tingkat atas rumah didiaminya yang terbakar sekitar jam 10.41 pagi tadi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan Lopeng dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Ketua operasi lapor kebakaran sebuah rumah kediaman teres dua tingkat melibatkan tingkat atas rumah.

“Semasa kejadian terdapat dua penghuni, di mana seorang mangsa berjaya selamatkan diri, manakala seorang wanita warga emas mengalami kecederaan di pinggang akibat terjun dari pintu tingkat atas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian diberikan rawatan kecemasan oleh EMRS Bomba sebelum dikejarkan ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.57 pagi dan pasukan Bomba melakukan kerja-kerja ‘overhaul’.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari. — DayakDaily

Advertisement