Oleh Dean Adam
KUCHING, Feb 16: Kes “Macau scam” kali terakhir dilaporkan berlaku di Sarawak adalah pada 25 Januari lepas.
Namun selepas 21 hari, kes terbaharu melibatkan sindiket berkenaan dilaporkan berlaku di Sibu semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kes itu melibatkan seorang wanita warga emas berusia 66 tahun yang kerugian RM10,000.
Menurutnya, berdasarkan laporan diterima,Ā mangsa telah menerima panggilan dari seorang wanita yang tidak dikenali, memberitahu bahawa mangsa telah terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.
Kemudian suspek telah menyambung talian kepada seorang individu yang dikatakan anggota polis.
“Suspek mengatakan semua aset mangsa akan dibekukan sekiranya dia tidak mengikuti apa yang disuruh malah dia diugut akan ditangkap jika tidak memberi kerjasama,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa kemudian disuruh untuk memindahkan wang ke dalam akaun Maybank milik suspek.
Katanya, suspek memberitahu sekiranya wang tersebut disimpan di dalam akaun mangsa, pihak Bank Negara akan membekukan akaun bank tersebut.
“Kemudian suspek berjanji akan pindahkan semula wang tersebut setelah selesai urusan dengan Bank Negara.
“Pada 15 Februari lepas iaitu pada pukul 1.42 petang, mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam akaun Maybank suspek,” ujarnya lagi.
Mustafa menambah, mangsa kemudian mulai sedar ianya adalah satu panggilan penipuan sebelum membuat laporan polis.Ā ā DayakDaily