Wanita warga emas maut, suami dan tiga anak selamat

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

Oleh Dean Adam

SIBU, Dis 9: Malang menimpa seorang wanita warga emas apabila dia maut selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Edruce di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Hajijah Jawas, 60, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Advertisement

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian mangsa bersama empat lagi ahli keluarganya dikatakan sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sibu dengan menaiki sebuah kereta.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian kereta yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi jalan raya.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah, manakala suami dan tiga anaknya cedera.

“Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap polis menambah, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.

Katanya, mayat mangsa juga telah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. ā€” DayakDaily

Advertisement