Enam sekeluarga hilang tempat tinggal akibat kebakaran

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 9: Enam sekeluarga hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka di Kampung Panglima Seman Lama musnah dalam satu kebakaran malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.55 malam itu turut mengakibatkan dua orang penghuni rumah berkenaan cedera terkena renjatan elektrik.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, dua lelaki terkena renjatan elektrik semasa membantu dalam operasi memadam kebakaran itu.

Bagaimanapun katanya, dua mangsa tersebut selamat dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sebelum itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.56 malam.

“Sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah setingkat jenis kekal.

Katanya, pasukan bomba kemudian bertindak membuat operasi memadam kebakaran bagi memastikan keadaan terkawal.

“Operasi terkawal sepenuhnya pada pukul 11.05 malam,” ujarnya. — DayakDaily