Hujan lebat berterusan akibatkan 25 rumah terjejas akibat dinaiki air

Keadaan rumah penduduk kampung yang terjejas akibat banjir.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, Dis 9: Hujan yang berterusan selama beberapa hari lalu telah menyebabkan 25 buah rumah di Jalan Engkeriring, Majau dekat sini dinaiki air sedalam kira-kira 1.2 meter, hari ini.

Jurucakap bomba dan penyelamat Kanowit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.50 pagi.


Katanya, sejurus itu, sepasukan anggota bomba telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati terdapat 25 buah rumah dinaiki air, namun keadaan itu masih dalam keadaan terkawal.

Anggota bomba melakukan operasi pemantauan banjir.

“Pasukan bomba kemudian menghubungi pihak Sesco kerana terdapat tiang elektrik tumbang di kawasan berkenaan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemantauan serta membantu pihak Sesco untuk mengangkat tiang elektrik yang tumbang.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.40 pagi selepas keadaan kembali terkawal,” katanya. — DayakDaily