Oleh Dean Adam
SARATOK, Julai 10: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang semalam ditemui selamat di sebuah kebun di Ulu Budu, di sini, hari ini.
Mangsa, Kanching Lesi, 72, ditemui selamat oleh penduduk kampung kira-kira pukul 8.30 pagi.
Ketua Balai Bomba Saratok, Nazry Mohamat, berkata jarak perjalanan ke lokasi tempat mangsa ditemui ialah kira-kira 3 jam berjalan kaki.
Katanya, semasa ditemui mangsa kelihatan lemah sebelum diberi makanan dan minuman oleh pasukan mencari dan menyelamat.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa dihantar ke hospital berkenaan dengan menggunakan kereta peronda polis,” katanya di sini hari ini.
Nazry menambah, operasi mencari dan menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari. — DayakDaily