Remaja maut dilanggar lari ketika mencari liputan Internet

Motosikal yang dinaiki mangsa dengan rakannya disita polis untuk siasatan lanjut.

JULAU, 3 Ogos: Seorang remaja perempuan meninggal dunia akibat dilanggar lari ketika sedang mencari liputan Internet di Jalan Julau-Nanga Entabai, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 17, semasa kejadian membonceng motosikal ditunggangi rakannya pada jam 9 malam.

Katanya, motosikal yang dinaiki mereka dari Rumah Changgan Nanga Ejit, di sini itu bagaimanapun dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah belakang.


“Semasa kejadian, mereka bergerak lurus menuju ke satu kawasan tapak perumahan baharu untuk mencari liputan Internet.

“Mereka telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang masih belum dapat dikenalpasti setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah itu kemudian dikejarkan bapanya ke Klinik Kesihatan Julau, namun disahkan meninggal dunia, manakala rakan mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya.

Kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily