Oleh Dean Adam
KUCHING, Jan 22: Seorang wanita nyaris maut selepas kenderaan jenis Toyota Avanza yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh penghadang besi di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya di sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di muka dan anggota badannya.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.11 malam.
Katanya, seorang anggota bomba yang kebetulan baharu sahaja memulakan syif bertugas malam terus bertindak membantu mengeluarkan mangsa yang cedera dari kenderaan tersebut.
“Sepasukan empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk membantu operasi.
“Mangsa yang cedera kemudian diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini malam ini.
Jurucakap sama memberitahu, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 8.35 malam. — DayakDaily