Ramalan cuaca bertambah baik mulai esok

Gambar satelit keadaan cuaca di Sarawak yang disiarkan laman web JMM hari ini (Jan 22, 2019).

KUCHING, Jan 22: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) meramalkan Sarawak akan mengalami cuaca bertambah baik mulai esok dan menarik balik amaran waspada hujan lebat berterusan bagi negeri ini petang tadi.

Menurut kenyataan JMM dikeluarkan di laman webnya www.met.gov.my jam 6 petang hari ini, keadaan cuaca di Sarawak merangkumi bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Miri dan Marudi) dan Limbang dijangka bertambah baik.

Sehubungan itu amaran cuaca itu yang telah dikeluarkan jabatan itu bagi Sarawak dan Sabah bermula jam 6 petang 18 Januari 2019 telah ditamatkan.

Bagaimanapun JMM meramalkan esok (23 Januari) akan berlaku hujan di satu dua tempat di negeri ini sebelah pagi dan malam manakala sebelah petang mengalami ribut petir di satu dua tempat di kawasan pedalaman.

Sarawak kemudian diramal mengalami hujan di satu dua tempat dan hujan di satu dua tempat di kawasan pedalaman sebelah pagi, petang dah malam mulai 24 sehingga 28 Januari depan.


Sementara itu Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak di laman Facebooknya hari ini mendedahkan pusat pemindahan sementara di Balai Raya Kampung Paon dan Sekolah Kebangsaan Sebat di Lundu telah ditutup jam 3 petang tadi.

Manakala pusat pemindahan sementara Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu dan Dewan Sinaran Kampung Lumut di Kuching telah ditutup jam 2 petang tadi. — DayakDaily