Dua lagi pusat pemindahan sementara banjir di Lundu ditutup


Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 22: Dua lagi pusat pemindahan sementara yang menempatkan 74 mangsa banjir ditutup sepenuhnya petang tadi.

Dua pusat pemindahan sementara itu ialah balai raya Kampung Paon dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sebat di Lundu dekat sini.


Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kesemua mangsa yang terjejas dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya.

“Pada pukul 3.00 petang tadi, dua lagi pusat pemindahan sementara ditutup sepenuhnya apabila semua mangsa terjejas pulang ke rumah mereka,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, DayakDaily melaporkan dua pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa banjir iaitu di Dewan Sinaran Kampung Sungai Lumut dan Surau Ar Rahman di sini juga telah ditutup sepenuhnya.

Semalam empat buah pusat pemindahan sementara dibuka dengan seramai 133 orang daripada 32 buah keluarga terjejas. — DayakDaily