Wanita Keadilan Sibuti: Contohi JBALB Miri tangani masalah bekalan air di Sibuti

Water. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

SIBUTI, 14 Mac: Tindakan pantas Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Miri dalam menangani isu bekalan air di daerah Sibuti harus menjadi contoh kepada jabatan atau agensi kerajaan yang lain dalam menghadapi isu berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sibuti, Zulhaidah Suboh berkata, tindakan JBALB Miri itu telah memberi kelegaan kepada penduduk terjejas bekalan air bersih dekat Rumah Edward di Sungai Serunggut di sini sejak seminggu yang lalu.

“Penduduk sudah mulai menarik nafas lega kerana sejak minggu lepas mereka mengadu terputus bekalan air bersih kerana musim panas, di mana kawasan Sungai Serunggut tiada bekalan kemudahan asas tersebut,” katanya menerusi satu kenyatan hari ini.


Beliau berkata, penggunaan air kian meningkat atas faktor penjagaan kebersihan yang perlu menjadi amalan setiap individu dalam sebuah keluarga dan masyarakat.

Katanya, dengan peningkatan kes Covid-19 yang sudah menular di kawasan luar bandar, sudah pastinya penggunaan air amat penting demi faktor kebersihan dan kesihatan masyarakat di kawasan tersebut.

Tambah beliau, justeru, sebagai pengantara kepada masyarakat, beliau sering kali menggesa semua pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bertanggungjawab membekalkanair minuman kepada penduduk di luar bandar yang tiada bekalan air bersih termasuk yang terjejas akibat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di sekitar Sibuti serta kawasan luar bandar yang lain.

“Pihak kerajaan harus melipatganda usaha dalam menangani isu kekurangan air di kawasan yang tiada kemudahan asas ini, bukan sahaja di Sibuti malah keseluruhan luar bandar di negeri Sarawak,” katanya. — DayakDaily