Wanita dihanyutkan ‘kepala air’ di Lawas ditemui mati

Mayat mangsa dibawa ke darat selepas berjaya ditemui.
Advertisement

LAWAS, 12 Julai: Seorang wanita yang dilaporkan hilang dihanyutkan ‘kepala air’ di sungai Long Sukang, di sini pada Sabtu lalu ditemui mati hari ini.

Difahamkan mayat mangsa dikenali sebagai Rebecca John, berusia 24 tahun, ditemui penduduk kampung yang menyertai Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sekitar jam 11 pagi.

Jarak mangsa ditemui sekitar enam kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Bomba di Kampung Long Sukang.

Advertisement

Mayat mangsa kemudian dibawa ke darat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata hari ini merupakan hari ketiga operasi SAR yang bermula dari jam 8.35 pagi.

Pencarian hari ini dibahagikan kepada beberapa sektor yang disertai hampir 100 orang anggota penyelamat termasuk penduduk kampung.

Radius pencarian adalah sekitar 10 hingga 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Pada Sabtu, mangsa dikatakan bersama adik iparnya mengambil batu di sungai apabila tiba-tiba kepala air datang dari hulu sungai mengakibatkan kedua-dua mereka jatuh dan dihanyutkan arus deras.

Bagaimanapun, adik ipar mangsa berjaya diselamatkan orang kampung, manakala mangsa hilang dihanyutkan arus. — DayakDaily

Advertisement