Usul Ordinan Referendum ‘modal’ calon bebas S4S di PRN-12

Phiong Ah Kiong

KUCHING, 30 Oktober: Gerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) bersedia untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang dengan meletakkan calon bebas.

Menurut jurucakap S4S, Phiong Ah Khiong, pada pilihan raya itu nanti mereka akan membawa usul Ordinan Referendum ke dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebagai tema kempen.

“DUN Sarawak harus meluluskan Ordinan Referendum dan ia adalah untuk memberi peluang kepada rakyat membuat keputusan berkaitan isu penting melalui undi referendum,” katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Phiong, S4S kecewa dengan calon-calon yang mengelakkan diri daripada isu Ordinan Referendum.

“Dengan adanya permintaan dan suara yang kuat dari rakyat, ahli pasukan S4S tidak menafikan akan mengambil bahagian sebagai calon bebas dalam pilihan raya yang akan datang,” tambah beliau.

Lee Jok Kwang

Selain itu, S4S juga berpendapat penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) adalah satu pelanggaran undang-undang perlembagaan yang sangat serius.

Menurut seorang lagi jurucakap S4S, Lee Jok Kwang, ia melanggar kuasa pengurusan Kerajaan Sarawak dan Ordinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat 2004.

“Justeru, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak boleh mengambil tindakan tegas untuk menghentikan perkara ini dengan terus menghalau mereka keluar.

“GPS mesti berkeras menghadapi Pakatan Harapan yang ingin merampas kuasa melalui projek MPKKP,” katanya. — DayakDaily