Unit Komunikasi Awam Sarawak ikrar bebas rasuah

Samuel (duduk kiri) menandatangani ikrar bebas rasuah mewakili seluruh pegawai UKAS.

KUCHING, 24 Sept: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menzahirkan komitmen sebagai badan kerajaan yang telus dan menolak budaya rasuah menerusi Majlis Bacaan dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, pegawai UKAS yang diketuai Pemangku Pengarah UKAS Samuel Simon telah menyempurnakan bacaan dan menandatangi ikrar bebas rasuah yang disaksikan Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Hadir sama Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya dan Penolong Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Mardiana Han.

Terdahulu dalam ucapannya, Samuel berkata, pegawai-pegawai UKAS hendaklah menerapkan beberapa nilai-nilai utama untuk dijadikan sebagai amalan.

“Kita perlu menjaga imej kita sebagai penjawat awam yang membawa nama kerajaan Sarawak di mana sahaja kita berada dengan sentiasa bersikap positif.

“Setiap tugasan yang diberi kepada kita haruslah kita siapkan segera dengan penuh amanah dan berbekalkan komitmen serta disiplin tanpa melengah-lengahkan masa,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan beberapa nilai tambahan iaitu positif, responsif, berdaya cipta dan berdaya usaha. — DayakDaily