KUCHING, 11 April: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) melalui Unimas Edu Sdn Bhd telah memeterai dan bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan MRS Management Sdn Bhd bagi bersama menyediakan latihan Program Pengurusan Disijilkan (CMP) kepada kakitangan pengurusan syarikat di negara ini.
Majlis pertukaran dokumen MoU terbabit disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah Unimas Edu Sdn Bhd, Professor Datuk Dr Shazali Mansor mewakili Naib Canselor Unimas dan Pengerusi Unimas Edu Sdn Bhd Professor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dengan Ketua Pegawai Esekutif dan Pengarah Urusan MRS Management Sdn Bhd Kristine Liew, di Kampus Unimas, Kota Samarahan, di sini, hari ini.
CMP adalah kursus latihan yang memberikan kakitangan peringkat pengurusan kemahiran dan pengetahuan diperlukan bagi menjalankan tangungjawab mereka dengan modul latihannya termasuklan fungsi dan struktur organisasi, prinsip penyeliaan pengurusan, kepimpinan pengurusan, sikap kerja dan motivasi, membuat keputusan dan menyelesai masalah, menguruskan disiplin dan rungutan, menilai prestasi pekerja, menguruskan perubahan, meneruskan penambahbaikan projek, memimpin pengurusan konflik dan meningkatkan kerja berpasukan di tempat kerja.
Mohamad Kadim berkata kerjasama Unimas Edu Sdn Bhd dibawah jenama Unimas Business school dengan syarikat penyedia latihan itu yang diberikan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) penarafan empat bintang tersebut bermula dengan bersama mengadakan latihan CMP pertama bagi kakitangan pengurusan syarikat di Kuching dan Kuala Lumpur tahun lepas.
“Ianya menjadi satu permulaan yang hebat, kerana menarik banyak peserta besar seperti Kyowa Suntech Precision Works Sdn Bhd, Syarikat SESCO Berhad, Asia Aquaculture (M) Sdn Bhd, Lembaga Pembangunan Bintulu dan Hirose Electric
(M) Sdn Bhd,” katanya dalam ucapannya yang dibacakan Shazali.
Mohamad Kadim berkata setakat ini, tiga kumpulan terdiri dari seramai 28 pengurus syarikat terbabit telah berjaya menyertai latihan CMP mereka dan menjadi graduan yang menerima sijil di majlis itu serta Unimas yakin lebih ramai kakitangan terbabit akan menyertai program itu selepas ini.
Sebanyak 28 pengurus tersebut terdiri dari kakitangan peringkat pengurusan atasan dengan jawatan Pengurus Bahagian, Pembantu Pengurus, Jurutera Elektrikal, Jurutera Kanan, Pembantu Pengurus Pembelian, Pengurus Sumber Manusia dan Pengurus Besar.
“Majikan mesti menyokong dan menyediakan latihan yang mencukupi kepada pekerja supaya membolehkan mereka dapat mengikuti permintaan kerja yang sentiasa berubah. Disinilah dimana syarikat perunding latihan dan institusi akademik dapat tampil membantu,” katanya.
Katanya dengan syarikat penyedia latihan dan institusi akademik akan membantu majikan dengan menganalisa dan mengenalpasti jurang kemahiran atau pengetahuan, membangun dan membentuk bahan latihan dan seterusnya menyusun serta melaksanakan aktiviti latihan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan MRS Management Sdn Bhd, Kristine Liew berkata pengambilan peserta latihan CMP tahun ini akan bermula Julai 17 depan di Kuala Lumpur dan Sept 3 depan di Kuching.
Katanya pendaftarannya sudahpun dibuka dan peserta yang berminat bolehlah menulis kepada syarikat perundingan latihan itu di mrs@mrstraining.com atau menghubungi 082-454343. — DayakDaily