Polis selesaikan kes curi panel solar kurang seminggu

Anggota polis menemui semula barangan yang dilaporkan hilang sebelum ini.

SERIAN, April 11: Kurang dalam tempoh seminggu selepas menerima laporan kes curi panel solar dan barangan lain di Batu 25, Jalan Kuching-Serian, pasukan polis akhirnya berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan penahanan seorang lelaki di kawasan kebun buah di Batu 27, Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian, Dsp. Aswandy Anis berkata, suspek yang merupakan lelaki Cina berusia 26 tahun diberkas kira-kira pukul 11.30 pagi.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku mencuri solar panel dan beberapa lagi aksesori yang melibatkan kerugian berjumlah RM10,000.


“Suspek kemudian membawa pasukan polis ke lokasi dia menyembunyikan barangan yang dicurinya dari sebuah rumah kebun pada April 6 lalu.

“Sebaik tiba di tempat persembunyian itu, pasukan polis kemudian menemui semula barangan yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Aswandy menambah, suspek telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan curi.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara lima tahun dan juga denda,” katanya. — DayakDaily