Unimas menjayakan Program Kokurikulum Berkredit di Rumah Nudong Murat, Skrang

Jugah (berdiri tengah baris pertama, baju putih) merakamkan kenangan bersama peserta program dan penduduk Rumah Nudong Murat, Skrang.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 15: Majlis Penutupan Program Kokurikulum Berkredit Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bersama penduduk Rumah Nudong Murat Skrang telah diadakan semalam.

Menurut satu kenyataan media, majlis penutupan tersebut telah disempurnakan Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu Jugah Muyang.

Advertisement

Program tersebut memberi peluang kepada para peserta mempelajari Subteras Seni Andaman dan Subteras Asas Penyediaan Makanan Sejuk Beku.

Jugah pada ucapan penutupan berharap agar program yang sama dapat diteruskan dari masa ke semasa.

“Projek seperti ini dapat memberi pendedahan dan motivasi kepada belia dan para pelajar di luar bandar untuk belajar dengan lebih gigih.

“Harapan saya agar mereka dapat mencontohi para mahasiswa Unimas yang telah berjaya melanjutkan pelajaran mereka di Universiti tempatan,” katanya.

Program tajaan ahli parlimen Lubok Antu tersebut berjaya menerapkan sikap positif, semangat dan berdaya faham tinggi serta beretika.

Program itu juga memberi kemahiran pada peserta untuk menjadi pemikir dan mampu menyelesaikan masalah secara bijak.

Subteras Seni Andaman memberi peluang kepada para peserta untuk memiliki kemahiran pembelajaran sepanjang hayat kepada pelajar yang mana semasa di lapangan atau selepas di lapangan, kemahiran itu tetap ada.

Manakala, Subteras Asas Penyediaan Makanan Sejuk Beku melatih dan mencetus pemikiran peserta untuk menceburi bidang penjualan makanan sejuk beku.

Melalui projek ini peserta dilatih tentang cara-cara asas pembuatan kuih muih tempatan yang dapat disejuk beku.

Di majlis yang sama, Jugah mengumumkan 40 projek solar dan geran RM55,000 untuk Rumah Nudong Murat, Skrang. — DayakDaily

Advertisement