9 lelaki dicekup disyaki terlibat jenayah dadah

Dadah yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MARUDI, April 15: Sembilan lelaki dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi serbuan di sebuah pondok di Long Lama dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, semua suspek yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 53 tahun.


Katanya, enam daripada suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tiga lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Alta yang sama.

“Hasil pemeriksaan di dalam pondok berkenaan telah menjumpai satu beg silang warna kelabu jenama ‘X-Copper’ yang mengandungi 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 17.15 gram.

“Pasukan serbuan juga menemui 25 keratan tiub straw berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 6.35 gram,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, nilai rampasan kesemua dadah itu dianggarkan sebanyak RM5,850.

Katanya, ujian air kencing yang dilakukan mendapati lapan daripada suspek positif dadah, manakala seorang negatif dadah.

“Semakan rekod jenayah mendapati semua suspek tiada memiliki jenayah lampau dan kes ini masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily