Anak rentung, ibu melecur dalam kebakaran

Pasukan bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

SELANGAU, April 15: Malang menimpa seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) selepas ditemui rentung selepas Rumah Panjang Chandi dekat sini musnah terbakar, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu mengakibatkan mangsa, Ripi Jubi, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Insiden sama juga menyebabkan ibu mangsa yang berusia 80 tahun melecur kira-kira 10 peratus di bahagian belakang dan lengannya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu, Unjar Lum berkata, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 8.26 malam.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa.
Ibu mangsa yang melecur akibat kebakaran.

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu, sepasukan anggota bomba dari BBP Tatau telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam.

Katanya, jarak perjalanan dari BBP Tatau ke rumah panjang sepanjang 22 pintu itu adalah sejauh 60 kilometer.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah panjang jenis tidak kekal tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Unjar menambah, pasukan bomba kemudian bertindak melakukan operasi memadam kebakaran bagi memastikan keadaan terkawal.

Katanya, hasil pemeriksaan selepas operasi memadam pada pukul 11 malam itu menemui mangsa dalam keadaan rentung di bawah timbunan kayu terbakar.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.40 pagi ini.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily