UNIMAS anjur program ‘Scienceploration Camp’ 2018

Manyin (barisan depan, tengah) merakam gambar bersama peserta 'Scienceploration Camp' 2018.

KOTA SAMARAHAN, Feb 24: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah melancarkan program Asasi UNIMAS ‘Scienceploration Camp’ 2018 di sini hari ini.

Program yang diadakan dua hari satu malam itu adalah kerjasama antara Pusat Pengajian Pra-Universiti, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS.

Tahun ini adalah penganjuran program untuk kali ketiga hasil daripada maklum balas yang amat memberangsangkan daripada peserta program pada tahun lepas.


Program seumpamanya bertujuan memupuk minat di kalangan peserta untuk mempelajari subjek Sains dengan lebih menarik melalui aktiviti dan eksperimen yang telah dirancang.

Seramai 40 orang pensyarah universiti berperanan sebagai fasilitator, manakala 20 pegawai penghubung yang terdiri daripada penuntut pascasiswazah, prasiswazah dan juga asasi UNIMAS terlibat bagi melaksanakan program itu.

Seramai 116 orang pelajar daripada aliran Sains dari 13 buah sekolah di sekitar Kota Samarahan dan Kuching sudah mendaftar untuk program ini.

Majlis perasmian program ‘Scienceploration’ pada kali ini disempurnakan oleh Menteri Kementerian Pendidikan, Sains Dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Turut hadir ialah Majlis Dekan dan pegawai pengurusan dan profesional UNIMAS.— DayakDaily