Unifor diminta menyertai usaha untuk membangunkan sekolah mubaligh Kristian

Uggah (duduk empat dari kiri) bersama ahli Unifor dan Gereja St Thomas selepas Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Cek Pembinaan Bangunan Baharu The House Of The Epiphany, di Gereja St Thomas, Jalan Macdougal, di Kuching.

KUCHING, Feb 24: Kerajaan negeri meminta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) untuk menyertai usaha membangunkan sekolah mubaligh Kristian yang banyak dalam keadaan terlalu usang di seluruh negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sekolah mubaligh masih memainkan peranan penting kepada pendidikan negeri ini malahan ramai pemimpin Sarawak termasuk beliau sendiri adalah bekas pelajar sekolah jenis itu.

“Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga sebelum ini sudah menyatakan yang beliau akan tampil bersama menyokong sekolah ini. Jadi saya fikir kita (Unifor) boleh mula duduk berbincang dan menubuhkan satu jawatankuasa dalam Unifor bagi memastikan isu sekolah mubaligh Kristian yang usang ini dapat ditangani,” katanya ketika Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Cek Pembinaan Bangunan Baharu The House Of The Epiphany, di Gereja St Thomas, Jalan Macdougal, di sini, hari ini.


Uggah berkata isu sekolah mubaligh terlalu usang terbabit juga penting ditangani dengan segera kerana pihaknya khuatir pelajar ketika ini akan ketinggalan sekiranya mereka terus belajar dalam keadaan sekolah yang serba kekurangan terbabit.

“Jadi kita (Unifor) mesti melihat tentang apa yang kita mampu lakukan bagi membangunkan (sekolah mubaligh) ini,” katanya.

Disamping itu, Uggah mendedahkan beliau gembira kerana kerajaan pusat telah memutuskan untuk terus membekalkan diesel kepada sekolah mubaligh di negeri ini yang tiada bekalan elektrik dan masih bergantung kepada set janakuasa elektrik.

“Ini kerana pada permulaan tahun ini kami telah diberitahu bekalan diesel bagi sekolah mubaligh itu hanya akan dibekalkan sehingga Mac 31 depan,” katanya.

Beliau berkata adalah tidak adil bekalan diesel terbabit dihentikan kepada sekolah mubaligh di negeri ini tanpa sebab kukuh dan sehubungan itu berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana menyambung semula bekalan terbabit. — DayakDaily