Ular tedung bersembunyi di bawah katil, berjaya ditangkap bomba

Anggota bomba menangkap ular tedung.

MARUDI, Feb 4: Pekerja di sebuah syarikat akhbar di sini gempar apabila menemu seekor ular tedung yang bersembunyi di bawah katil di sebuah bilik rehat di sini malam tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada pukul 10.57 malam.

Katanya, sejurus menerima laporan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi telah dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati seekor ular tedung masih berlingkar di bawah sebuah katil di dalam bilik rehat.

“Anggota bomba kemudian bertindak menangkap ular itu dengan alat khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Law memberitahu, pasukan bomba hanya mengambil masa dua minit untuk menangkap reptilia bisa itu.

“Ular itu kemudian dilepaskan di hutan berhampiran,” ujarnya lagi. — DayakDaily