Pasukan 11 RAMD berjaya tumpaskan cubaan seludup Mitsubishi Pajero di kawasan sempadan

Pasukan 11 RAMD berjaya mematahkan cubaan seludup Mitsubishi Pajero.

SERIKIN, Feb 4: Pasukan 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berjaya mematahkan cubaan menyeludup sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero ke Kalimantan Barat, Indonesia melalui laluan tikus di sempadan berdekatan ladang kelapa sawit di sini semalam.

Pegawai Gerak Pasukan 11 RAMD, Mejar Noor Azmeer Mat Sani berkata, sebelum itu, sepasukan anggota tentera yang melakukan rondaan rutin telah terserempak dengan dua lelaki warga Indonesia yang cuba melepaskan sebuah Mitsubishi Pajero yang tersangkut dalam lumpur.

Katanya, selepas menyedari kehadiran pihak tentera, kedua-dua suspek melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran.


“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap kenderaan tersebut menemui pasport Republik Indonesia, dua topi keledar dan cangkul di dalam kenderaan tersebut.

“Anggota tentera kemudian membawa kenderaan itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azmeer memberitahu, semakan lanjut dengan pihak polis mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dilaporkan hilang di Taman BDC Kuching pada Feb 2 lalu.

“Berikutan itu, Mitsubishi Pajero tersebut kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily