Penduduk Sarawak diminta berdoa supaya kejadian banjir besar tidak melanda negeri

Professor Datuk Dr Sim Kui Hian (tengah, baju kuning) bersama ahli Pertubuhan Membina Akhlak Che Hui Khor menyampaikan sumbangan makanan dan ang pow kepada golongan miskin di Pusat Komersil Stutong.

KUCHING, Feb 4: Penduduk negeri ini diminta bersama berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing supaya kejadian banjir besar tidak akan melanda negeri ini berikutan sedang mengalami cuaca yang berterusan hujan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian berkata selain membuat persiapan menghadapi bencana banjir, sebaiknya penduduk juga berdoa supaya bencana tersebut tidak berlaku.

“Kita berharap dan kita bersamalah berdoa supaya kejadian banjir besar tidak akan berlaku (di negeri ini),” katanya selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan makanan dan ang pow golongan miskin anjuran Pertubuhan Membina Akhlak Che Hui Khor di Pusat Komersil Stutong, di sini, hari ini.

Keseluruhannya, seramai 220 golongan miskin dari sekitar Kuching dan Kota Samarahan menerima makanan dan ang pow di majlis terbabit yang disumbangkan orang ramai temasuk bekas Ahli Parlimen Stampin, Datuk Yong Khoon Seng.

Dr Sim berkata demikian mengulas cuaca hujan lebat di bandaraya ini dan Kota Samarahan berterusan sehingga pagi hari ini. Jabatan Meteorologi juga meramalkan cuaca hujan berterusan akan melanda negeri ini sehingga Isnin iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Sementara itu, di majlis terbabit, beliau berharap pertubuhan dan masyarakat kaum Cina di negeri ini meneruskan tradisi memberikan sumbangan kepada golongan miskin menjelang perayaan Tahun Baru Cina dan memberikan sumbangan terbabit tanpa mengira bangsa dan agama mereka.

Sumbangan makanan yang disediakan Pertubuhan Membina Akhlak Che Hui Khor bagi disumbangkan kepada golongan miskin di Pusat Komersil Stutong.

“Ini adalah tradisi kita penduduk Sarawak yang memberikan sumbangan tanpa mengira bangsa dan agama, malahan saya mahu sumbangan diberikan kepada golongan miskin bukan sahaja menjelang Tahun Baru Cina tetapi juga menjelang Hari Raya dan perayaan lain,” katanya.

Beliau berkata nilai sumbangan terbabit tidak penting kerana yang lebih penting pertubuhan dan masyarakat kaum Cina ikhlas memberikannya supaya mereka bagi dapat mengembirakan golongan miskin.

“Ini kerana awal tahun ini sahaja sudah dua orang guru sekolah aliran Cina di negara ini membunuh diri dan juga telah berlaku kejadian pelajar membunuh diri,” kata beliau, yang juga merasakan kejadian terbabit mungkin disebabkan perasaan tidak gembira. — DayakDaily