Ugut guna parang, pemuda ditahan polis

Suspek (dua dari kiri) ditahan polis untuk siasatan lanjut.

MIRI, 26 Ogos: Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan polis selepas dia mengamuk sambil memegang parang di bengkel milik abangnya di Lorong Harmoni 1C Tudan pada Khamis (26 Ogos).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11 pagi itu, suspek turut cuba menetak pekerja abangnya di dalam bengkel terbabit.

“Hasil siasatan mendapati suspek tiba-tiba angin selepas permintaannya untuk mendapatkan wang daripada abangnya tidak dipenuhi,” ujar Hakemal.


Perbuatan suspek menakut-nakutkan mangsa telah menyebabkan satu laporan telah dibuat terhadapnya.

Bertindak daripada laporan tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dikerah ke lokasi kejadian.

Suspek berjaya ditahan sekitar jam 2 petang tadi untuk siasatan lanjut.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily