Ugut bunuh guna kapak, gara-gara sampah

PDRM logo

KUCHING, 15 Dis: Hanya kerana dituduh membuang sampah menyebabkan seorang lelaki nekad hendak membunuh saudaranya di Kampung Nyabut Trombol.

Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam Selasa apabila suspek berusia 31 tahun datang mengamuk di rumah saudaranya itu dengan bersenjatakan kapak.

Insiden tersebut bagaimanapun disedari oleh ibu bapa suspek sendiri yang kemudian cuba menenangkannya tetapi sebaliknya turut dicederakan suspek.

Melihat kejadian tersebut yang semakin tegang menyebabkan sepupu suspek terus melaporkan kepada pihak polis menyebabkan suspek terus beredar dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya suspek berjaya ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan sekitar jam 6.30 petang semalam.

Turut dirampas daripada suspek ialah sebilah kapak.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan. — DayakDaily