Seorang parah, tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan di Betong

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BETONG, 15 Dis: Seorang parah, manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Tanjong Pais Skrang, di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.19 tengah hari.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Komander operasi memaklumkan kemalangan membabitkan dua buah 4WD iaitu sebuah adalah milik Bahagian Kejuruteraan KKM dan sebuah lagi milik orang awam.

“Terdapat seorang penumpang hadapan kenderaan orang awam terperangkap dan berjaya dikeluarkan pihak Bomba dengan menggunakan ‘combination rescue cutter’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa dilaporkan parah dan telah diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya.

Manakala tiga lagi mangsa turut dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.16 petang.

“Setelah memastikan keadaan terkawal dan selamat, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai,” katanya. — DayakDaily