Uggah tunggu laporan penuh video tular tembak anjing dalam kompaun rumah

Uggah mengulas isu video tular tembak anjing.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 7: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah menunggu laporan penuh berhubung video tular di media sosial yang menunjukkan anggota penguatkuasa menembak anjing dalam kompaun rumah pemiliknya.

Ditemui pemberita di Kuching hari ini, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengakui telah melihat video tersebut.


“Saya telah menonton video tersebut dan saya menunggu laporan penuh.

“Arahan saya jelas dan ini adalah operasi khas rabies selepas Sarawak diisytiharkan sebagai wabak rabies bencana tahap II.

“Operasi bermula di Lundu dan Bau, seterusnya di Padawan dan Kota Samarahan,” katanya.

Terdahulu Uggah menghadiri Simposium Kopi Borneo yang diadakan di Bangunan Mahkamah Lama disini.

Video tersebut dirakamkan ketika operasi rabies bagi memindahkan anjing terbiar di kawasan Matang di sini semalam.

Menurut Uggah, objektif operasi adalah untuk memvaksinkan 100 peratus anjing dalam kawasan operasi dan kedua mensasarkan anjing terbiar.

“Operasi ini sangat mencabar dimana anjing dalam kompaun rumah harus divaksin dan tidak ada seorang pun yang boleh menembak anjing dalam kompaun rumah.

“Dalam kes ini, saya masih menunggu laporan siasatan dan saya akan membuat kenyataan lanjut pada April 9 ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau menghargai usaha para penguatkuasa dan sokongan daripada rakyat selain mengatakan yang operasi akan dilakukan semesra yang mungkin. — DayakDaily