Uggah: Sarawak turut sekat kemasukan warga Indonesia, India dan Filipina

Uggah (dua kanan) menyampaikan dana Unifor kepada Menteri Utiliti yang juga ADUN Kemena Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Sept: Sarawak mengikut langkah kerajaan pusat menyekat kemasukan warga Indonesia, India dan Filipina mulai 7 Sept ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, keputusan tersebut adalah wajar dalam usaha membendung wabak Covid-19.


“Kuala Lumpur telah membuat keputusan untuk menyekat kemasukan warga Indonesia, India dan Filipina datang ke Malaysia.

“Kita (Sarawak) sebahagian daripada Malaysia, maka kita akan mengikut langkah itu disebabkan pintu masuk adalah melalui Kuala Lumpur,” kata Uggah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai majlis penyerahan dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Menurut Uggah lagi, langkah sekatan tersebut adalah wajar memandangkan kes import Covid-19 dari ketiga-tiga negara adalah tinggi.

Negara Filipina kata Uggah mencatatkan kes Covid-19 yang tertinggi di rantau ini diikuti Indonesia manakala India di kedudukan ketujuh.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada satu sidang media semalam telah mengumumkan sekatan tersebut.

Ia merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap, Program Malaysia Rumah Keduaku, ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional dan pemegang pas residen. — DayakDaily