TYT: Semua parti bertanding dalam PRU14 harus terima keputusan rakyat

Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

KUCHING, Mei 31: Semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sama ada kalah atau menang harus menerima keputusan rakyat dengan mengenepikan perbalahan dan perselisihan faham ke arah menumpukan tenaga dan usaha kepada pembangunan Sarawak dan Malaysia amnya.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, isu-isu politik haruslah diasingkan daripada perkara yang remeh-temeh khususnya yang mempunyai agenda peribadi dan kepentingan kumpulan yang boleh mengugat keamanan dan perpaduan yang dibina selama ini.

Tegas beliau, yang penting sekali, ianya mesti mempunyai hala tujuan untuk melahirkan pembangunan yang lebih adil dan saksama serta lebih bermakna kepada rakyat semua tanpa mengira keturunan kaum dan kerpercayaan agama dan lain-lain perbezaan.


“Sesungguhnya semasa tempoh berkempen tempoh hari, kita sedar atau tidak sedar mungkin telah menyentuh perkara-perkara atau membangkit isu-isu yang mungkin menyentuh hati dan perasaan orang lain.

“Maka ambillah peluang ini dalam masa meraikan Hari Gawai untuk beramah mesra dan memperkuatkan ukhuwah dan tali silaturrahim di antara satu sama lain.

“Yang penting kita perlu memulihkan dan menjernihkan lagi perhubungan di antara kita supaya hubungan kita sentiasa mesra dan kuat demi perpaduan kaum dan negeri Sarawak,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2018 di sini hari ini.

Taib menambah, beliau amat bersyukur kerana rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik amat terkenal dengan sifat sopan dan mesra serta mudah bercampur gaul dan memahami adat resam masyarakat lain.

Jelas beliau, semangat tersebut telah pun terjalin dengan cukup kuat bukan sahaja di Sarawak bahkan di seluruh negara.

“Misalnya di Johor, masyarakat yang meraikan Hari Gawai Dayak ini kian bertambah kerana makin banyak anak-anak Sarawak bekerja dan berkumpul di Singapura, Johor dan juga di Kuala Lumpur.

“Maka dengan ini, menjadi tanggungjawab kita agar sambutan Hari Gawai terus dipelihara dan disematkan dalam anak-anak muda kita.

“Ini kerana, perayaan seperti ini menjadi masa pertemuan dan mengeratkan persaudaraan dan memahami adat resam satu dengan lain.

“Sesungguhnya setiap perayaan telah diberikan hari kelepasan am adalah kerana supaya setiap rakyat bukan sahaja dapat meraikannya tetapi menjadikan satu budaya dalam usaha untuk mengerat tali siraturahim dan perpaduan di kalangan masyarakat kita,” ujarnya lagi.

Taib menambah, setiap perayaan di Sarawak telah disambut dalam keadaan yang aman dan meriah.

Katanya, keadaan ini berlaku kerana kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa masa hadapan adalah terikat bersama tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama.

“Ini juga seharusnya memberi peluang keemasan kepada kita semua untuk merenung seketika pencapaian masyarakat dan negeri kita dalam untuk mencapai status negara maju dengan pendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

“Kita juga melihat kehidupan masyarakat Dayak yang terdiri daripada etnik Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Orang Lun Bawang yang telah banyak berubah selepas kita mencapai kemerdekaan.

“Ramai anak muda dalam kalangan masyarakat Dayak telah dapat merebut banyak peluang pendidikan, peluang pekerjaan dan juga peluang-peluang menjalankan perniagaan kerana ada pembangunan yang semakin pesat di Sarawak,” katanya. — DayakDaily