TVSTARZ: Misi mencari bakat baru

Festival. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, 11 Jan: TVS kini menyeru bakat-bakat baru di seluruh negara untuk turut serta dalam rancangan realiti terbaharu iaitu TVSTARZ.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG) Suhaimi Sulaiman berkata, rancangan itu terbuka kepada individu berusia 18 hingga 27 tahun.

“Seramai 12 peserta akan disenarai pendek sebagai peserta dalam rancangan ini dan berpeluang untuk menjadi ikon dalam industri hiburan Malaysia yang kian membangun di Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Advertisement

Beliau menambah, TVSTARZ akan dikenali sebagai rancangan pencarian bakat yang paling unik di Asia.

Ia bertujuan untuk mencari bakat serba boleh dalam nyanyian bergenre budaya pop dan mengikuti rentak Gendang Sarawak serta mampu berlakon dan mengacara seperti bakat tanah air yang terkemuka.

“Terdapat banyak bakat muda di luar sana yang belum berkembang sepenuhnya.

“Industri ini secara amnya, terutamanya TVS, memerlukan lebih banyak bakat yang boleh mencetus inspirasi.

“Kami amat teruja kerana berpeluang untuk mengasah bakat baharu ini melalui TVSTARZ,” ujar beliau.

Mengikuti norma baru, uji bakat akan dilakukan melalui penyerahan video dan hanya calon yang disenarai pendek akan dipanggil untuk ke peringkat seterusnya.

Individu yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang www.tvstv.my/tvstarz sebelum 31 Januari, 2021.

Secara umumnya ujar Suhaimi, peserta akan maju ke peringkat seterusnya yang diadili oleh juri profesional dengan sokongan undian awam.

“Pada akhir rancangan ini, TVSTARZ akan menampilkan finalis yang akan bersaing dengan penuh karisma, memiliki ketajaman minda dan berbakat sebagai penghibur untuk dinobatkan sebagai pemenang,” katanya.

TVSTARZ dijangka ditayangkan pada akhir suku pertama tahun ini. — DayakDaily

Advertisement