Tukang simbah cat ‘ah long’ ditangkap

Antara rumah yang telah disimbah cat.

KUCHING, 6 Feb: Seramai lapan suspek, termasuk dua wanita ditangkap berkaitan kes gangguan oleh pemberi pinjam wang (ah long) sejak awal Januari.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 47 tahun.

Katanya, suspek-suspek dikatakan telah menyimbah cat di rumah-rumah mangsa di sekitar daerah Kuching.


“Dengan tertangkapnya kesemua suspek, kita percaya telah berjaya selesaikan sebanyak lima kes yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang akan sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga, telefon bimbit, tong cat dan pisau.

“Dua daripada suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan jenayah dan juga kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Polis amat mengalu-alukan maklumat dari orang ramai berkaitan dengan sebarang aktiviti kelakuan jenayah.

Sebarang maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran. — DayakDaily