Tiga premis judi di Kuching diserbu

Premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian diserbu.

KUCHING, 6 Feb: Tiga premis disyaki menjalankan kegiatan perjudian dan menjual loteri awam tanpa lesen di bandaraya ini diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata dalam serbuan tersebut turut menangkap tiga individu, termasuk seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun.

Katanya, pasukan serbuan turut merampas wang tunai kira-kira RM219 dan tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama yang digunakan bagi menjalankan aktiviti perjudian.


“Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 48(a) Akta Rumah Judi terbuka 1953 dan permohonan reman semua suspek telah diluluskan selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut menggesa masyarakat untuk terus memberikan maklumat perjudian khususnya di daerah Kuching.

Maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran.

“Ini agar tindakan tegas dapat diambil dengan segera,” katanya. — DayakDaily