Tujuh warga asing ditahan dalam ‘Op Pintu’ di Bintulu

Pemeriksaan dilakukan oleh pasukan serbuan.

BINTULU,21 Jan: Seramai tujuh warga asing ditahan daripada 24 yang diperiksa dalam ‘Op Pintu’ oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Bintulu bersama Jabatan Imigresen semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata operasi tersebut telah dijalankan di kawasan Saberkas Jaya, di sini iaitu sekitar jam 12.45 tengah malam.

Jelasnya, hasil operasi telah memeriksa 21 warga tempatan dan 24 warga asing.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tujuh daripada 24 warga asing disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

“Kesemua tujuh warga asing itu kemudian ditahan dan kes diserahkan kepada Jabatan Imigresen Bintulu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut kes dijalankan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Passport 1966. -DayakDaily