Tujuh sekeluarga cemas rumah dilanda tanah runtuh

Pemilik sebuah rumah di Kampung Duras membersihkan bahagian dapur rumah mereka selepas ia ditimpa tanah runtuh awal pagi tadi (19 Feb, 2021).
Advertisement

SIBURAN, 19 Feb: Tujuh sekeluarga di Kampung Duras di sini cemas selepas bahagian dapur dan bilik tidur kediaman mereka ditimpa tanah dalam kejadian tanah runtuh awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian tersebut disedari oleh salah seorang pemilik rumah terbabit kira-kira jam 7.40 pagi tadi.

“Pengadu iaitu Robinson Sigad telah mendengar bunyi gelongsoran pokok beserta tanah yang telah susur dan menimpa bahagian bilik tidur dan dapur pengadu menyebabkan pintu dapur terus terbuka akibat limpahan tanah lumpur tersebut.

Advertisement

“Melihat keadaan itu, dia (pengadu) bergegas mengejut semua ahli keluarganya yang sedang tidur seterusnya mengambil barang keperluan yang perlu didapur,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Anggota Bomba melakukan pemantaun keselamatan terhadap kejadian tanah runtuh di Kampung Duras, Siburan

Beliau berkata, pengadu terbabit kemudianya membawa keluarganya ke rumah jiranya sebelum meminta bantuan jiran tersebut untuk menghubungi ketua kampung bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Katanya, satu laporan polis juga dibuat oleh pemilik rumah berkenaan atas tujuan keselamatan sekitar jam 12 tengahari tadi.

“Pihak Bomba hanya membuat pemantauan di lokasi kejadian dan menasihati pengadu agar menghubungi pihak Bomba sekiranya berlakunya kejadian berulang dan terdapat keperluan mendesak,” katanya.

Advertisement