Lelaki warga emas maut, basikal dinaiki dirempuh kereta

Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian.

Oleh Dean Adam

SIBURAN, Jun 29: Seorang lelaki warga emas menemui ajal selepas basikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang Kampung Duras, Batu 16, Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Phang Thiam Kui, 88, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 8.32 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Kelihatan keadaan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan basikal.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Perodua Axia dan basikal.

“Impak pertembungan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari basikal dan mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.40 pagi,” katanya. — DayakDaily