Tujuh lelaki dicekup disyaki terlibat jenayah dadah

Serbuk dan pil ekstasi yang dirampas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 12: Tujuh lelaki dicekup selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Jugah, di sini, awal tengah malam tadi.

Serbuan kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu berjaya memberkas semua suspek yang berusia antara 26 hingga 35 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif, berkata hasil pemeriksaan pasukan serbuan telah menjumpai satu bekas semburan pewangi jenama “Air Wick” di dalam laci kaunter premis berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi seberat 50.75 gram dan 17 biji pil ekstasi seberat 5.70 gram.

“Semua suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan di bawah Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, dalam pada itu pasukan serbuan telah menjalankan ujian saringan awal air kencing terhadap pengunjung pusat hiburan melibatkan 10 lelaki dan tujuh perempuan.

Katanya, kesemua suspek juga telah menjalani ujian saringan awal air kencing dan tiga daripada mereka didapati positif Benzo dan Ketamin.

“Ketiga-tiga suspek juga ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Satu laporan polis juga dibuat ke atas pengurus pusat hiburan itu kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya. — DayakDaily