Oleh Dean Adam
SRI AMAN, Dis 19: Tujuh individu berdepan dengan detik mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Temudok dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, kesemua mangsa terlibat selamat, namun ada dalam kalangan mereka mengalami kecederaan ringan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.25 pagi.
Jelasnya, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan van Toyota Hiace.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mangsa iaitu enam yang menaiki van dan seorang yang memandu Mitsubishi Triton berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini
Tiong menambah, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja āflushingā di sekitar kawasan kemalangan tersebut.
Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 9.20 pagi,” ujarnya. ā DayakDaily