Operasi SAR: Wanita hilang semasa mencari umbut di Julau

Operasi SAR hari ini yang turut disertai penduduk kampung.

JULAU, 10 Jun: Seorang wanita dilaporkan hilang apabila tidak pulang selepas pergi mencari umbut bersama dua rakannya di Ulu Cundong Sungai Matop, di sini sejak semalam (9 Jun).

Menurut sumber, kejadian hanya disedari dua rakannya apabila mereka tiba di kampung dan mendapati mangsa yang berusia 54 tahun masih tiada di rumah sekitar jam 3 petang.

Jelasnya, mangsa dan dua rakannya itu masuk ke dalam hutan dari jam 10 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan oleh penduduk kampung namun masih tidak menjumpainya dan terus membuat laporan di Balai Polis Julau.

Operasi SAR hari ini bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor dimulakan pada jam 10.30 pagi .

Bagaimanapun sehingga jam 5 petang, mangsa masih gagal ditemui dan operasi SAR terpaksa ditangguh dan akan disambung semula esok.

Turut sama dalam operasi SAR tersebut ialah anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung. ā€” DayakDaily